Taip alamat e-mel anda:


Refleksi Manhaj


Seruan yang kita panggilkan dan serukan kepada manusia bukanlah seperti satu lolongan dan jeritan yang tidak punya roh dan perasaan, yang dijerit-jerit pada lorong yang kosong. Bahkan seruan kita ialah seruan yang meriah dengan roh, mesra dan penuh kasih sayang. Seruan kita ialah seruan yang mahu menyelamatkan orang-orang yang sedang terjun ke dalam api memamah diri, kita mahukan mereka selamat seperti mana kita selamat.

Lebih daripada itu, seruan kita ialah seruan yang membumi, seruan kita berpijak di atas bumi yang nyata, bukan angan-angan mahupun cakap kosong. Kita menyeru atas sunnah seruan mereka-mereka yang terlebih dahulu menyeru manusia ke jalan-Nya. Menyaksikan bagaimana Islam kian memuncak atas seruan-seruan yang mereka hidupkan, bukan semata kepada mereka yang di luar, tetapi juga kepada diri mereka. Maka ia menjadi satu seruan yang berasaskan kepada suatu petunjuk, suatu panduan, dan suatu pimpinan, menjadilah ia manhaj yang kita teladani. Dan manhaj ini ialah suatu jalan yang nyata dan membumi, tidak terawang-awangan pada seruan dan kata semata-mata.

Seruan inilah dakwah yang kita mahu sampaikan kepada masyarakat, Muslim khususnya. Seruan yang sepertimana dibuat oleh baginda nabi SAW dan para sahabat yang terdahulu, para tabi’in, para tabi’ tabi’in, dan kesemua mereka dalam tiga kurun Islam pertama (rujuk hadith Kurun Terbaik). Dakwah dan tarbiyyah yang mengikut sunnah baginda nabi, menjadi asas kepada kebangkitan ummah yang tidak lain memerlukan kita semua, terutamanya para pendokong risalah untuk islah individu, mengikut marhalah dakwah sehingga mencapai Ustaziyatul Alam.

Menurut janji baginda SAW, bahawa Dunia ini akan kembali semula kepada pangkuan Islam, mengikut manhaj Rasul SAW, bukanlah suatu realiti andai kita bermain-main. Dan kita perlu berusaha, sehinggalah tercapainya janji baginda nabi SAW, meskipun tatkala Islam kembali mentadbir dunia, kita sudah mesra diulit tanah-tanah, kembali kepada fitrah kejadian  kita, hanya merasa di alam barzakh. Sedang Konstantinopel yang dijanji pembukaannya oleh baginda nabi SAW itu tidaklah ia tercapai dengan termangu-mangu sahaja, bahkan usaha demi usaha dibuat, sehingga ia merentas pemerintahan tiga dinasti khilafah, sehinggalah Sultan Muhammad II membukanya, 800 tahun daripada hadith tersebut diungkap.

Usahlah kita berasa lemah kerana berita-berita yang sampai mencaci dan menghina serta merendahkan Islam, kerana ujian demi ujian ini telah dirasakan bukan sekadar oleh nabi SAW, bahkan oleh para anbiya` dan mursalin sebelum baginda, bagi menunjukkan bahawa ia suatu ketentuan daripada Allah SWT;


Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dan jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia). Jikalau Tuhanmu menghendaki, niscaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan. [QS:6:112]

Apa yang lebih penting ialah kita tidak bermain dengan permainan musuh-musuh Allah, kita tidak perlu mengikut arus yang mereka kawalkan. Walhal kita telah punya warisan yang tidak pernah sekali-kali meninggalkan dan menyesatkan kita, al-Quran dan as-Sunnah, maka itulah pegangan yang sekali-kali tidak akan menyesatkan kita, bahkan akan membawa kita terus mampir kepada Allah (rujuk hadith Dua Hal yang diwariskan oleh Nabi).

Dalam daya mengembalikan Islam kepada puncaknya, tidak boleh ada pada jiwa kita para penyongsong risalah kenabian, dakwah dan tarbiyyah akan sifat isti’jal. Tergesa-gesa dan terburu-buru mahu melihat hasil daripada dakwah yang kita serukan. Ia, samada boleh mencacat-celakan gerak dakwah dan organisasinya, atau ia boleh mengundang petaka yang tidak terlihat dari hasil pemikiran yang tidak mapan. Namun, dalam ketika tertentu, peluang-peluang yang ada perlu dimanfaatkan untuk melihat celah-celah yang bisa dakwah dan tarbiyah itu sampai. Maka, dalam ketika ini, perlu kepada kebijaksanaan dan kematangan, kerana itu perlu padanya Hikmah para syuyukh dan Semangat para syabab. Begitulah pula applikasi istisyarah dan isti`zan perlu digunakan oleh para pendukung dakwah demi memastikan amal jamai’e itu terjaga haknya.


Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh. [QS:61:4]

Kita perlu maklumi bahawa berperang tanpa strategi itu ialah berperang dalam kebodohan. Melihat kembali kepada manhaj yang digunakan oleh nabi SAW ialah suatu strategi yang tersusun dan penuh hikmah. Lihatlah ketika mana perang khandak berlangsung, bagaimana nabi dan para sahabat bersyura, dan memohon istisyarah sesama mereka. Ketika itu Salman al-Farisi mencadangkan agar parit dibina mengelilingi Madinah. Begitu pula semasa peperangan berlangsung, para munafik tidak memohon keizinan daripada baginda nabi SAW lalu beransur pergi meninggalkan medan peperangan, lalu dicela Allah;


Sesungguhnya yang sebenar-benar orang mukmin ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka berada bersama-sama Rasulullah dalam sesuatu urusan yang memerlukan pertemuan, mereka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (Muhammad) mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, maka apabila mereka meminta izin kepadamu karena sesuatu keperluan, berilah izin kepada siapa yang kamu kehendaki di antara mereka, dan mohonkanlah ampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [QS:24:62]

Di dalam ayat di atas, Allah telah memerli dan menempelak orang Munafik bahawa orang yang benar-benar beriman hanyalah mereka yang meminta izin untuk meninggalkan medan peperangan, bukan orang yang semberono meninggalkan tanpa izin dan sebab. Betapa Allah SWT menekankan kepentingan izin kepada amir.

Manhaj ini juga mengajarkan bahawasanya dalam menggabungkan diri bersama gerabak dakwah, kita tidak dijanjikan dengan kemewahan dan populariti, apalagi pangkat dan nama, bahkan para pendokong risalahlah yang akan mengeluarkan dan membaktikan hartanya untuk memastikan kesinambungan dan kelancaran gerak kerja dakwah. Maka, para penyongsong risalah tidak boleh membiarkan kemahuan kita pada kehendak duniawi bercampur baur dengan perjuangan menegakkan risalah. Kadang-kadang, betapa kita mengkehendaki sesuatu sehinggakan kita bisa jadi celaru apa keputusan yang perlu kita ambil, sampai suatu tahap ada yang akan bertindak meninggalkan gerabak dakwah ini melihatkan dia tiada mendapat apa-apa manfaat dan dia tidak mampu untuk mendapat apa yang dia inginkan.

Memang, kerja ini bukan suatu hal yang menjanjikan kepada pendokongnya akan kemewahan, kekayaan, kenamaan, keuntungan, mengikut faham manusia yang terhad dan cetek, tetapi ia memberikan ganjaran yang kekal, tiada sesiapa yang mampu mengganjarnya melainkan Allah SWT. Pernah suatu ketika tanah Arab dilanda kemarau, dan Abdur Rahman bin Auf, sang jutawan Muslim membawa pulang berpuluh ekor unta sarat dengan beras pada tunggangannya. Ketika mahu dibeli orang dia bertanya, “Berapakah yang bisa kau tawarkan?” maka jawab si pembeli, “aku boleh membeli dengan harga dua kali ganda”, maka berkata Abdur Rahman bin Auf, “itu tidak cukup bagiku, aku mahukan sepuluh kali ganda nilai beras ini”, maka tercenganglah para pembeli. Siapakah yang mampu membalas sepuluh kali ganda kalau bukan Allah? Maka diberinya beras-beras tersebut untuk manfaat semua orang, sedang dia pulang dengan kekayaan yang berlipat kali ganda.

Dan akhirnya, sebelum tinta ini berhenti ditulis. Dalam memilih gerabak dakwah yang ingin kita gabungkan diri ke dalamnya, lihatlah pada manhajnya. Adakah manhajnya jelas, atau ia sekadar lolongan suara dan idea tanpa berpijak pada bumi amal? Sedang dakwah dan tarbiyah hanya jelas apabila manhajnya jelas. Adakah manhajnya mengikut manhaj nabi SAW dan apakah manhaj yang paling hampir dengan manhaj nabi SAW? Sedang itu merupakan sunnah-Nya dan sunnah nabi SAW. Apa manhaj yang kita pilih untuk gabungkan diri ke dalamnya inilah yang akan menentu pembentukan syakhsiah dan hala tuju kita. Namun, ia bukan suatu hal semata-mata yang menentukan perkara tersebut, ia juga bergantung kepada betapa teguhnya keyakinan kita kepada manhaj dan fikrah yang kita bawa (sedang kita perlu yakin dengan fikrah kita, Syed Qutb rah.), begitu pula dengan dzatiyyah kita untuk menghidupkan amal tarbawi menurut manhaj tersebut.





1 comments:
kahfi8 said...
 

Salaam,

satu refleksi yang benar2 refleks.

boleh betulkan kembali niat yang tergelincir.. iman yaziid wa yanqush..

~ semoga sama2 istiqomah dan tsabat! ~

Post a Comment

MyLangit Theme By ArpitNext
Copyright © 2008 Bloggerized by : GosuBlogger | Inspired By Langit : Eches